TIPS MENGAWAL KEMARAHAN TERHADAP ANAK

MARAH...satu perasaan yang sangat sukar dikawal. Lebih-lebih lagi bagi seorang ibu yang telah penat seharian bekerja mahupun menguruskan rumahtangga. Seringkali bila kepenatan dan anak menunjukkan ragamnya ketika itu, maka amarah la yang anak dapat. Kadang-kadang anak tak buat salah pun, tapi sebab dah penat kita marahkan juga mereka. Namun sesudah kemarahan dilepaskan, kita mula menyesal.

Begitu juga saya. Adakalanya menjadi 'Hulk" juga apabila kedua-dua puteri Hang Li Po ni mahukan perhatian serentak dalam keadaan saya penat. Namun alhamdulillah, sejak akhir-akhir ni saya dah boleh kawal sedikit sebanyak kemarahan kerana sudah ada penggera. Penggera saya ialah anak saya sendiri. Jika saya marahkan si kakak, adik akan berkata " Maaf ibu.." dengan nada yang sayu. Jika marahkan si adik pula, cepat-cepat kakak akan ingatkan " Sabar ibu..ingat Ya Sabur..Ya Sabur...Adik kan kecil lagi, dia tak tahu apa-apa".
Bila dah dengar penggera ni saya akan diam, tarik nafas dan pergi tempat lain dulu. Sambil tu istigfar..zikir Ya Sabur, Ya Latif, Ya Mukmin. Zikir Nabi Yunus.. sampai tenang baru saya hadap anak-anak semula dan memohon maaf.

Semalam perkara ini menjadi topik perbincangan dalam group Whatsapp BBMQ kami. Ramai telah berkongsi tips mereka. Saya kumpulkan disini supaya boleh menjadi rujukan bersama. Lain orang lain tipsnya. Mungkin ada yang berkesan untuk anda dan saya juga untuk perbaiki lagi tahap suhu kemarahan kita.

Antara tipsnya ialah :

1. Menggunakan Ayat Al-Quran
    - Membaca Surah Al-Khausar ketika marah. Boleh dibacakan juga pada ubun-ubun anak sebagai melembutkan hati anak yang kuat meragam / ketika tantrum
    - Membaca doa Nabi Ibrahim ketika dibakar oleh Raja Namrud (Surah Al-Anbiya' ayat 69) beserta maksudnya.

2. Mengamalkan Zikir Asmaul Husna
   - Antara zikir yang bagus untuk mengawal sifat marah ibu dan anak ialah Zikir Ya Latif  (Allah Maha Lembut), Ya Sabur (Allah Maha Sabar) da Ya Mukmin (Allah Maha Tenang)

3. MenggnakanTeknik Pernafasan
   - Terdapat pelbagai teknik pernafasan untuk menagawal emosi. Ianya perlu dipelajari. Namun asasnya cara menarik nafas yang betul ialah dengan menggunakan otot perut. Tarik nafas yang dalam akan melancarkan pengagihan oksigen dalam badan dan menyebabkan kita cold down dengan cepat.

4. Menggunakan Teknik Pergerakan
   - Carnya mudah. Sila bergerak ke tempat lain bila marah. Cari tempat yang boleh menenangkan jiwa dan dipenuhi aura positif, tinggalkan tempat yang dipenuhi aura kemarahan/negatif itu dengan segera. Buat kerja lain. Sibukkan diri dengan melakukan tugasan lain atau terus mengerjakan solat.

5. Teknik Cooling Air
   - Air bersifat sejuk, marah bersifat panas. Seperti kebakaran, ambil air dan padamkan api tersebut. Ambil wuduk atau minum air sejuk dapat membantu menurunkan rasa marah. Jika wuduk tidak berkesan, mandi sahaja. Ada juga yang mampu mengawal marah dengan hanya melihat air mengalir. Jadi bila marah terus ke sinki, dan biarkan air mengalir. Sentuh air tersebut jika perlu. Atau perkara biasa ibu-ibu buat termasuk saya ialah menangis......membiarkan air mata sendiri yang mengalir sehingga jiwa kembali tenang.
 

Rasulullah SAW juga ada mengajarkan beberapa cara untuk kita mengawal rasa marah.
  •  Baca Ta'awudz (A'dzubillahi...)
  •  Ubah posisi. Jika marah ketika berdiri, maka kita duduk atau baring.
  •  Diam
  •  Berwuduk
  •  Solat
Rasulullah juga ada mengingatkan bahawa orang yang kuat itu bukan orang yang jaguh bergusti, tetapi orang yang mampu menahan marahnya.

Selepas kemarahan kita telah berjaya di kawal jangan lupa untuk memaafkan diri sendiri dan mohon maaf pada anak yang dimarahi. Sesungguhnya ambil la ikhtibar dari Kisah Nabi Yunus yang marah dan tidak sabar lalu meninggalkan kaumnya dengan segera. Lalu Allah tegur dan mengilhamkan kepada Nabi Yunus untuk berzikir taubat. Muhasabah kembali, jika kita marah pada anak, bukankah kita juga sedang menzalimi diri sendiri.

Akhir sekali mari kita renung bersama ayat ini :

At-Taghābun:14 - Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Selamat mencuba dan selamat beramal.
M0ga ada manfaat untuk kita bersama dalam menjaga kemarahan terhadap anak yang disayangi.

Assalammua'laikum.


SHARE

Hanizah Aziz

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment